Enter content here

Enter content here

Enter content here

          Ekoran daripada program pembangunan dan pemodenan pesat yang dialami oleh ATM di sekitar tahun 60-an, keperluan untuk mempunyai tenaga teknikal yang mahir bagi menyenggarakan peralatan dan kelengkapan moden juga semakin meningkat. ATM sedar tentang perlunya mewujudkan suatu program pembangunan sumber manusia yang rapi agar boleh melahirkan tenaga mahir dengan cara yang lebih berkesan dan menjimatkan. Sehubungan dengan itu, Kor JLJ pada awal tahun 1967 telah mencadangkan supaya sebuah Sekolah Latihan Pertukangan Perantis ditubuhkan. Pada 1 April 1968, Kementerian Pertahanan dengan kuasa Majlis Angkatan Tentera (MAT) telah bersetuju untuk menubuhkan Sekolah Pertukangan Perantis bagi memenuhi keperluan ketiga-tiga perkhidmatan ATM. 

          Matlamat utama penubuhannya adalah untuk melahirkan anggota tentera yang terlatih dalam bidang teknikal dan akademik yang akan ditugaskan di Cawangan Teknikal TD, TLDM dan TUDM.
Sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Pertukangan Perantis Angkatan Tentera (SPPAT). Memandangkan keperluan latihan dan peralatan SPPAT lebih mirip dengan Kor JLJ, Kementerian Pertahanan juga telah menetapkan agar sekolah ini didirikan di lokasi Sekolah JLJ di Kem SiRusa, Port Dickson. Untuk tujuan pentadbiran, SPPAT dijadikan sebahagian dari organisasi Sekolah JLJ (atas nama Cawangan Putera Perantis dan Latihan Rejimen). SPPAT telah dirasmikan oleh Ketua Turus Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Hamid bin Bidin pada 9 Nov 1968. Jumlah pengambilan pertama perantis SPPAT ialah seramai 60 orang dan mereka telah menamatkan latihan selama 3 tahun pada 3 Apr 1971.

          Kursus selama 3 tahun ini bagaimanapun hanya diadakan sehingga pengambilan ke-10 sahaja. Mulai pengambilan ke-11 pada bulan April 1978, tempoh latihan telah dipendekan kepada 2 tahun sahaja dan perantis tidak diperlukan mengambil peperiksaan Sijil Pelajarna Malaysia (SPM) seperti sebelumnya. Mereka dikenali sebagai Perantis Kategori A. Sistem ini diteruskan sehingga pengambilan ke 14 pada tahun 1981. Pada tahun 1981, pengambilan pertama perantis putera untuk menjalani latihan selama satu tahun. Mereka dikenali sebagai perantis Kategori B. Walau bagaimanapun pengambilan hanya dibuat dua kali sahaja, iaitu sehingga tahun 1982. Selepas itu, latihan perantis SPPAT telah diubah lagi dan penuntut dibenarkan belajar untuk menduduki peperiksaan SPM semula. Latihan ini dilaksanakan bagi pengambilan ke-15 hingga ke-21. Pada awal tahun 1982, SPPAT telah dipindahkan ke Kem Segenting, Batu 10, Jalan Port Dickson-Pasir Panjang. Pengambilan Perantis Putera untuk ketiga-tiga perkhidmatan ini diteruskan sehingga tahun 1986. Pada tahun 1987, TLDM dan TUDM tidak lagi mengambil perantis dari sekolah ini kerana kedua-dua perkhidmatan ini telah menubuhkan Institut Teknikal mereka sendiri. Oleh  yang demikian, Kementerian Pertahanan telah mengkaji semula kedudukan SPPAT dan akhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Panglima-Panglima yang ke-250 telah membuat keputusan SPPAT ditukar menjadi Sekolah Pertukangan Perantis Tentera Darat (SPPTD). Pada 12 Ogos 1988, sekolah ini dengan rasminya dikenali dengan nama SPPTD dan hanya melatih perantis untuk pasukan teknikal bagi TD sahaja.

          Pada bulan Ogos 1992, SPPTD telah dipindahkan semula ke lokasi asalnya di Kem Si Rusa. Pada tahun ini juga, latihan akademik bagi SPPTD telah dilaksanakan melalui dua kaedah. Sebahagian dari perantis pengambilan ke-25 telah mengambil skim pelajaran SPM dan sebahagian lagi mengambil skim pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Bermula pada tahun 1994, skim SPM telah dimansuhkan sepenuhnya di SPPTD dan semua perantis hanya mengambil peperiksaan SPMV sama ada dalam bidang Automotif, Fabrikasi Logam atau Pengamalan Mesin. Sehingga kini, SPPTD telah melahirkan seramai 1931 orang tenaga mahir dalam pelbagai bidang ketukangan bagi ketiga-tiga perkhidmatan ATM.